Isnin, 1 Disember 2014

Almarhum Ustaz Kamaruddin murabbi istiqamah (Baba)

Pemergian Almarhum Ustaz Kamaruddin Awang Basir adalah satu kehilangan yang sangat besar kepada gerakan Islam iaitu PAS.

Kira-kira 6,000 hadir memberikan penghormatan terakhir kepada almarhum tanda betapa hormatnya masyarakat khususnya ahli PAS terhadap tokoh ulamak itu.

Orang ramai dalam kalangan keluarga, sahabat handai dan rakan pendokong perjuangan berpusu-pusu hadir sejak pagi sebaik sahaja mendapat perkhabaran tentang pemergian almarhum.

Ustaz Kamaruddin adalah antara tokoh yang paling istiqamah di dalam PAS, beliau telah 'infaq' dirinya kepada perjuangan Islam dengan mengetepikan kepentingan dunia mahupun kesenangan hidup.

Beliau telah bergiat aktif sepenuh masa bersama parti lebih 30 tahun iaitu sejak muda dan telah memegang berbagai jawatan daripada peringkat kawasan hinggalah jawatan di peringkat PAS Pusat.

Pada tahun 80'an, tanpa memikirkan apa jua risiko, beliau telah meletakkan jawatan sebagai guru kerajaan demi mendukung cita-cita parti yang mengamanahkannya bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-07 (PRU7) di kerusi parlimen Larut.

Sejak daripada itu, bermulalah beliau menjadi 'murabbitun' PAS sepenuh masa khususnya berkhidmat kepada masyarakat Larut khususnya dan kepada parti khasnya disamping menyebarkan ilmunya dengan menjadi tenaga pengajar.

Tanpa rasa putus asa, almarhum terus bersedia memenuhi amanah parti untuk bertanding beberapa kali di kerusi parlimen tersebut selepas itu walaupun sedia maklum sukar untuk memenanginya.

Setelah berhenti berkhidmat di Maahad Ehya Asy Syarif, beliau menubuhkan Pusat Pendidikan Darul Ta'alim, mendidik tanpa mengira umur mahupun masa dan sehingga ke hari ini pusat pendidikan tersebut masih terus memberi jasa kepada masyarakat.

Anak jati Batu Kurau itu telah memegang jawatan Yang Dipertua PAS Larut sejak tahun 1980an hingga awal tahun 2000, beliau antara yang paling lama memegang jawatan sebagai Yang Dipertua di dalam sejarah PAS itu sendiri.

Diperingkat pemuda, beliau pernah memegang jawatan sebagai Naib Ketua Pemuda PAS Perak dan selepas itu almarhum dilantik menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak dari tahun 1987 hingga 1991.

Atas komitmen tinggi yang diberikan, beliau telah diamanahkan oleh Presiden PAS ketika itu, Almarhum Ustaz Fadzil Noor untuk memimpin PAS Perak apabila dilantik menjadi pesuruhjaya selama lima tahun bermula 1993 hingga tahun 1997 seterusnya menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Bayangkan, ketika itu PAS sangat asing dengan masyarakat di Perak namun beliau tetapi bersemangat menyebarkan Islam dan melebarkan dakwah parti kepada rakyat dan tidak boleh dinafikan hasilnya telah berjaya direalisasikan pada peringkat yang ada pada hari ini.

Sejak daripada itu, legasi PAS semakin mantap dan pimpinan yang silih berganti mempunyai kredibiliti yang tinggi seterusnya berjaya menggiatkan penyertaan masyarakat di dalam PAS.

Selepas tidak memegang jawatan sebagai pesuruhjaya, beliau terus istiqamah memegang jawatan dan menjalankan gerak kerja parti khususnya diperingkat Dewan Ulamak PAS Perak.

Erti penat tidak pernah ada dalam kamus hidupnya, beliau terus menyebarkan ilmu yang adanya khususnya dalam bidang tauhid dan usuluddin dengan menerima jemputan ceramah diseluruh negeri Perak hatta di negeri-negeri lain.

Keringat dan kredibiliti yang ada pada dirinya masih ditagih oleh PAS apabila beliau dilantik oleh perwakilan untuk menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Perak pada pemilihan tahun lalu sehinggalah beliau menemui penciptaNYA.

Walaupun kesihatannya tidak menentu, beliau tetap gagahkan diri untuk hadir ke mesyuarat pimpinan harian dan mesyuarat perhubungan negeri di Pejabat PAS Perak, Ipoh setiap bulan.

Dengan menaiki kereta Perodua Viva, beliau kadangkala memandunya seorang diri menyelusuri perjalanan hampir 100 kilometer daripada Batu Kuraau, Larut dan pulang pada lewat malam demi memenuhi tuntutan jamaah.

Beliau sangat istiqamah merealisasikan tuntutan dan tanggungjawabnya sebagai pimpinan serta ahli jamaah, sukar untuk 'ponteng' program walaupun dalam keadaan keuzuran.

Liqa' fikri bulanan PAS Perak antara program yang sangat beliau memberikan komitmen walaupun hanya sebagai pendengar bersama kelompok bawahan, beliau tidak rasa kekok.

Menceritakan tentang kisah almarhum, anaknya, Ustaz Akmal Kamaruddin yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak berkata, bapanya itu meletakkan matlamat untuk meninggal di dalam perjuangan.

"Baba nak mati dalam perjuangan", itulah jawapan almarhum ketika anak-anaknya meminta beliau berundur daripada menjawat sebarang jawatan dalam jamaah serta berhenti daripada mengajar terutama di tempat yang jauh oleh kerana gusar dengan kesihatannya.

Akmal berkata, pernah beberapa kali tekanan darah almarhum mencecah paras 200 tetapi tetap menggagahkan diri untuk hadir ke program-program yang dianjurkan oleh jemaah.

Hasrat untuk beliau berjuang dan memberi komitmen kepada jamaah hingga ke akhir hayatnya terlaksana, itulah kehebatan almarhum yang sangat istiqamah maka tidak salah jika mengganggap beliau seorang tokoh murabbi yang istiqamah.

Almarhum wajar dicontohi oleh seluruh pendokong perjuangan agar terus beristiqamah dalam jamaah walaupun tidak lagi memegang apa-apa jawatan kerana jawatan bukanlah syarat untuk istiqamah.


Oleh MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR

*Artikel ini ditulis oleh Wartawan Harakah Perak dengan mengambil input daripada pelbagai pihak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan