Isnin, 10 November 2014

Pesakit usus di Selama Perak perlu bantuan RM6,000

Keratan Akhbar 
SELAMA – Seorang remaja berusia 17 tahun yang menghidap penyakit di bahagian usus memerlukan bantuan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM6,000 yang akan dijalankan akhir bulan ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Zulhelmi Hafiz Zainal Abidin yang mempunyai masalah kesihatan sejak lahir turut dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) apabila anak kedua daripada tiga beradik ini menghidap masalah pada bahagian kakinya.

Pendapatan bulanan ibunya, Noor Rohida A Ameen, 52, sebagai guru mengaji al-Quran dan tukang jahit hanya cukup untuk keperluan harian dan tidak mampu untuk menampung kos pembedahan anaknya.

Noor Rohida  yang ibu tunggal berkata, masalah kesihatan anaknya itu dikenal pasti sejak lahir lagi dan sehingga kini dia menghadapi masalah untuk membuang air kecil dan air besar.

"Disebabkan masalah kesihatan Zulhelmi Hafiz perlu mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan pada akhir bulan ini dia perlu menjalani pembedahan di HKL,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noor Rohida berkata, dia dan anaknya terpaksa menaiki bas jika perlu mendapatkan rawatan di hospital tidak kira sama ada dari Selama ke Taiping, Ipoh mahupun Kuala Lumpur.

“Saya tidak ada pilihan lain kerana ia pengangkutan yang lebih murah,” katanya.

Menurutnya, walaupun berhadapan dengan masalah kesihatan, namun anaknya itu, masih bersekolah dan ketika ini sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Hussien, Selama.

“Walaupun Zulhelmi Hafiz menghadapi masalah kesihatan, namun ia bukan halangan untuk anaknya menuntut ilmu.

“Walaupun terpaksa menggunakan lampin pakai buang ke sekolah, dia tidak pernah malu dan kawan-kawannya sering menghulurkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, walaupun mendapat bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan namun hanya cukup untuk perbelanjaan harian da membeli lampin pakai buang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Bahagian Larut, Mohd Akmal Kamaruddin yang turut melawat Zulhelmi di rumahnya berharap orang ramai dapat menghulurkan bantuan membiayai kos pembedahan tersebut

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Noor Rohida di talian 0111 4726785.


- Sumber


Tiada ulasan:

Catat Ulasan